Lembaga Sastera Dayak: Untuk Penulis Dayak agar Tidak Pupus di Bumi Sendiri
Jaya Ramba bersama Mering, Masri, dan Matius menggagas dan mendirikan Lembaga Sastera Dayak. Ist. |
Oleh Jaya Ramba
Penulisan ialah jiwa yang dirakam melalui bahasa. Bagi masyarakat Dayak di Sarawak, Kalimantan dan seluruh bumi Borneo, penulisan bukan sekadar usaha menyusun huruf dan kata, tetapi satu bentuk pengakuan kepada jati diri, sejarah, budaya dan tamadun bangsa.
Namun, dalam dunia penulisan arus perdana yang semakin sarat dengan pengaruh luar, ramai anak-anak Dayak, khususnya penulis muda, merasakan diri mereka tersisih dan terpinggir. Suara mereka seolah-olah hilang dalam gema kesusasteraan nasional dan antarabangsa. Justeru, Lembaga Sastera Dayak dicadangkan untuk diwujudkan sebagai benteng dan pelindung kepada warisan kesusasteraan Dayak agar tidak pupus di bumi sendiri.
Lembaga ini lahir daripada keperluan mendesak untuk menyediakan ruang dan wadah yang sah buat penulis-penulis Dayak, sama ada di Sarawak, Kalimantan, Sabah mahupun mana-mana pelusuk dunia di mana ada anak Dayak yang menulis.
Sebagai Pengeri Lembaga Sastera Dayak, saya menyeru agar semua pihak terutama penulis, guru, budayawan, pengkaji, mahasiswa, aktivis dan pemimpin masyarakat Dayak menyambut saranan ini dengan tangan terbuka dan semangat juang yang menyala.
Matlamat utama lembaga ini ialah untuk menyatukan dan memayungi segala daya usaha kepengarangan Dayak dalam satu lembaga tersusun dan berwibawa. Tidak hanya sebagai badan pemantau, tetapi juga sebagai pemangkin dan pendorong kepada generasi Dayak untuk tidak malu berkarya, tidak takut menulis, dan tidak lupa pada akar budaya sendiri.
Antara saranan awal Lembaga Sastera Dayak ini ialah untuk menyediakan ruangan khusus kepada penulis Dayak bagi menghasilkan karya tanpa rasa tersisih. Karya-karya ini akan diterima, dibimbing, disaring dan seterusnya diterbitkan dalam pelbagai bentuk antologi cerpen, puisi, esei budaya, novel serta catatan dokumentasi sejarah dan upacara Dayak. Kita tidak boleh terus bergantung kepada ruang-ruang sedia ada yang lebih memusat kepada kelompok tertentu sahaja. Lembaga ini membuka pintu seluasnya kepada semua anak Dayak yang mempunyai semangat untuk menulis, walau setitis tinta sekalipun.
Penubuhan Lembaga Sastera Dayak bukan sekadar untuk menjadi penjaga karya, tetapi juga pemimpin kepada proses penciptaan. Maka, di bawah lembaga ini, akan dirancang bengkel-bengkel penulisan secara berkala, melibatkan penulis muda dan veteran, dari dalam dan luar kawasan Borneo.
Bengkel ini bukan sekadar mengasah teknik
penulisan, tetapi juga medan pengukuhan identiti budaya, falsafah hidup Dayak,
serta kesedaran akan warisan yang harus dipikul melalui karya. Bimbingan secara
langsung ini sangat penting untuk memastikan setiap karya bukan hanya indah
pada gaya bahasa, tetapi juga padat dengan isi dan makna yang membentuk
kekuatan bangsa.
Sebagai langkah pengiktirafan dan pemulian kepada penulis Dayak, Lembaga Sastera Dayak juga akan menyediakan anugerah dan hadiah khas kepada karya terbaik setiap tahun. Ini bertujuan untuk memberi motivasi, merangsang kreativiti dan menegaskan bahawa karya penulis Dayak juga layak berdiri sebaris dengan karya penulis lain di peringkat nasional dan antarabangsa. Sayembara dan Lomba Penulisan khas untuk penulis Dayak juga akan dijalankan secara berkala, merentas genre dan peringkat usia.
Salah satu tugas besar lembaga ini ialah menjadi arkib sastera Dayak. Kita harus mengumpulkan karya-karya lama dan baru yang membawa tema sejarah, kepercayaan, budaya, ritual, adat dan kehidupan masyarakat Dayak. Ini termasuklah cerita rakyat, mitos, legenda, upacara tradisi, kepercayaan kepada alam seperti langit, bukit, awan, tanah dan sungai yang semuanya menjadi sumber kepada karya besar yang kaya dengan simbolik dan pemikiran kosmologi Dayak. Setiap karya harus menjadi cerminan kepada roh Dayak itu sendiri, bukan hanya bahan bacaan.
Lembaga ini juga akan memainkan peranan dalam mendokumentasi dan menerbitkan hasil-hasil kebudayaan Dayak yang tidak ternilai, dari catatan lisan yang diwariskan oleh orang tua, hingga kepada manuskrip-manuskrip yang belum pernah diterbitkan.
Kita perlu mendigitalkan dan menyebarluaskan karya-karya ini untuk tatapan generasi muda dan pembaca global. Kita mahu dunia mengenali tamadun Dayak melalui lensa penulisan dan karya asli anak bangsa sendiri.
Selain itu, Lembaga Sastera Dayak akan menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan, muzium, perpustakaan dan badan-badan kebudayaan lain untuk memperluas jangkauan pengaruh sastera Dayak. Kita mahu karya Dayak diajarkan di sekolah, dibaca di perpustakaan, dipamerkan di festival, dan dikaji di universiti agar ia bukan sahaja hidup dalam rak buku, tetapi juga dalam minda dan jiwa generasi mendatang.
Kita juga mahu Lembaga ini menjadi medan pertemuan, perkongsian dan kerjasama antara penulis Dayak dari pelbagai wilayah. Persaudaraan sastera ini penting untuk mengukuhkan semangat kolektif dan memperluas horizon pemikiran melalui pertukaran pengalaman dan karya. Jaringan antara penulis Dayak di Sarawak, Kalimantan, Sabah dan luar negara harus diperkukuh supaya Lembaga Sastera Dayak menjadi jambatan emas penyatuan budaya.
Sebagai Pengeri Lembaga Sastera Dayak, saya menyeru agar semua pihak terutama penulis, guru, budayawan, pengkaji, mahasiswa, aktivis dan pemimpin masyarakat Dayak menyambut saranan ini dengan tangan terbuka dan semangat juang yang menyala.
Kita tidak boleh membiarkan warisan kita hilang ditelan arus, atau dipadam oleh kealpaan kita sendiri. Penulis Dayak harus terus menulis, tetapi mereka juga harus diberi ruang, dibimbing dan dihargai. Di sinilah Lembaga Sastera Dayak akan berdiri sebagai benteng, sebagai rumah, dan sebagai cahaya.
Kita mahu pastikan bahawa tidak akan ada lagi anak Dayak yang merasa dirinya kecil dalam dunia kepengarangan. Kita mahu pastikan bahawa setiap tulisan yang lahir dari jiwa Dayak akan diterima, dipeluk dan diraikan. Kita mahu pastikan bahawa penulis Dayak tidak akan pupus di bumi sendiri.
Dengan itu, saya mengajak semua pihak untuk bersama-sama merealisasikan penubuhan Lembaga Sastera Dayak ini.
Marilah kita menulis, bukan hanya untuk dikenang,
tetapi untuk menghidupkan semula akar yang hampir kering, dan membina jambatan
masa depan yang berteraskan nilai dan warisan Dayak.
Pengeri
Lembaga Sastera Dayak